Aku mahu ambil bantal. Tekap wajahku lalu teriakku. Aku mahu berlari ke arah pantai. Lalu meloncatku. Aku benar-benar mahu sampai pada puncak perasaanku. Biarpun itu sedih atau gembira, aku tetap ingin sampai pada puncaknya. Biar puas. Biar lepas terus. Jangan dibiarkan tinggal bersisa. Kerana aku tahu, sisa-sisa perasaan itu jika dikumpulkan dan disimpan akan jadi sentimental. Lalu menjadi sesuatu yang amat pahit kerana kita sentiasa mahu mengulanginya sekali lagi. Malah berkali-kali. Tapi sekuat manapun kita mahu merasainya kembali yang paling jauh itu adalah masa lalu yang tak pernah tergapaikan lagi. Takkan pernah tersampaikan lagi.
Ya, aku juga tidak lepas daripada sisa-sisa perasaan yang terkumpul lalu menjadi kerak-kerak yang mengeras di dalam hati. Bila diingat, bibir tentu mengukir senyum pahit. Biarpun ia memori indah. Tapi, perit dan begitu sakit sekali memori itu tidak akan mampu diulang lagi. Dan bila aku merasa sebegitu. Aku akan terus cari ruangku. Ruang eskapisme. Yang membuatkan aku jauh dari keramaian. Yang membuat aku menjadi sehalus perasaan dan cuba berimaginasi berada pada waktu itu lagi. Ah, gugur juga air mata. Mengapakah memori bahagia itu tidak mampu dirakam lalu disimpan di suatu tempat. Jika mahu, kita bila-bila masa sahaja boleh menjalaninya lagi seberapa banyak kali pun. Tapi, itu sungguh mustahil. Kerana momen bahagia itu terpilih sifatnya. Terhad nilainya.
Dan bila terasa mahu cari ruang untuk eskapisme,
Pergilah kepada Tuhan.
No comments:
Post a Comment