Saturday 26 January 2013

Ilmu Pemangkin Intelektual Ummah

Eh? 
Mungkin kedengarannya agak skema. Tetapi, aku ingin gapai kejayaan dalam bidang ini.
Ya, aku menyertai penulisan artikel Rakan Pusat Islam UPSI.
Doakan kejayaan aku ya. Dan yang terpenting sekali, moga ada yang mendapat ibrah. Amin.

Cintai Ilmu

Bilamana pandangan terarah pada pemuda-pemudi jalanan yang tidak tahu arah tujunya ke mana, hati digigit-gigit rasa sayu. Pedih dan disiat-siat. Tidakkah mereka tahu, mereka itu aset dalam jalan dakwah dan bukannya harta murahan yang boleh dibeli oleh pemikiran barat dengan begitu mudah sekali? Dalam usia muda yang dipenuhi bunga-bunga cinta yang sarat, kenapa harus diberi kuntuman bunga-bunga cinta itu pada manusia keparat, dan pemikiran barat yang sesat? Mengapa harus kita tebarkan cinta pada itu semua sedang ada lagi yang lebih bernilai untuk kita labuhkan cinta kita? 

Ke mana perginya intelektual kita sehingga kita terus menerus tanpa henti menjual diri dan menghambakan diri pada analogi barat? Ke mana perginya ilmu-ilmu yang ditanam dalam diri kita yang bertujuan untuk membentengkan kita dari segala anasir yang buruk lagi busuk?

Kita lupa pada ilmu. Kita lupa mencintai ilmu sehingga akal tidak mampu menjana intelektual lantas membenarkan nafsu bermaharajalela mengusai intelektual. Kita biarkan nafsu bebas memacu arah tuju kita. Kita biarkan nafsu terus berbisik pada diri bahawasanya kitalah orang yang paling tinggi darjatnya dengan modennya cara hidup kita.
Sehingga kita lupa firman Allah dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 : 

"..nescaya Allah akan mengangkat darjat orang yang beriman di antaramu dan orang diberi ilmu beberapa darjat.."

Dunia hari ini dalam keadaan yang kronik lagi kritikal. Di mana yang berada dalam kegelapan terus menerus dalam kegelapan tanpa mahu berusaha sedikitpun mencari cahaya. Dan yang berada dalam terang cahaya ilmu pula terus menyombong dan membongkakkan diri dengan ilmu kebijaksanaan dan ketajaman fikiran yang mereka punya. Leka sehingga lupa untuk membantu saudara yang berada kegelapan.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

Barangsiapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)

Orang yang mempunyai ilmu yang tinggi tentu punya intelek yang tinggi juga bukan? Lantas, mengapa dibiar saudara yang dalam kegelapan itu terus berada dalam kegelapan tanpa mahu membantu sedikit pun? Ketahuilah, ilmu yang kita perolehi bukan tujuannya untuk disimpan sendiri-sendiri. Ilmu itu sifatnya bukan seperti wang di mana akan berkurang jika diberi pada orang lain. Ilmu itu makin diberi makin bertambah. Unik bukan? Maka apa tunggu lagi, sebar dan tebarkanlah.

Cintailah ilmu dan janganlah mencintai sesuatu yang tidak pasti kerana jika kita mencintai sesuatu yang tidak pasti, bak kata pepatah, habis madu, sepah dibuang. Mencintai ilmu Allah, ilmu Allah takkan pernah habis.

"Katakanlah Muhammad : "Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula."

Surah Al-Kahf : 109










No comments: