Sunday 21 July 2013

Hadiah seorang Ramadhan di sebuah Ramadan.

Melihat matahari dan bulan berkejaran tak henti-henti tanpa pernah sempat mencapai satu sama lain, aku jadi lupa entah berapa kali sudah pusingan yang mereka lakukan. Dan aku juga lupa, hari ini masuk hari kesepuluh Ramadhan.

Entah bagaimana boleh lupa sedangkan, dulu-dulu akulah yang tak pernah terlepas menghitung hari-hari pada bulan ini dengan hitungan jari-jari. Mungkin sekarang Ramadan berlalu kurang warnanya. Teringat nota yang diberi Kak Jiji di atas kepingan kertas merah jambu. Katanya,

“Kalau kau rasa Ramadan itu semakin tawar,
semakin pudar,
Itu tandanya kau sudah besar,
Kerna definisi Ramadan buatmu bukan lagi duit dan baju rayamu nanti. Dan bukan juga bunga api di saban malam.”
-Kak Jiji



Kaki meyepak batu-batu kecil di jalanan sambil tangan kiri menghayun bungkusan makanan untuk berbuka nanti. Kawasan kolej sudah sepi hujung minggu begini. Penghuninya sudah pulang ke tanah tumpah darah masing-masing. 

Mata terhenti pada anak kucing di tepian jalan lalu aku dekati. Dia terus menggesel tubuhnya pada kakiku. Aku mencangkung dan mengelus tubuhnya.

“Kau puasa ya, kucing. Kau ingin berbuka bersamaku?”

Kerna aku bukan Nabi Sulaiman yang mengerti percakapan haiwan, aku membuat andaian yang kucing itu mengatakan iya. Lalu aku mengangkatnya ke bilikku.

Aku baringkan dia di hadapan pinggan kosong. Berhadapan denganku dengan pinggan yang penuh dengan nasi dan ayam percik. Mata kucing itu menatap mahu sedikit makanannya. Belum sempat aku memindahkan, azan sudah bergema sayup dan sayu. Mungkin si pelaung azan juga sayu tidak dapat pulang. Setelah meneguk seteguk air, aku memindahkan sedikit makanan ke pinggan kucing itu. Dia mengiaw kegembiraan mungkin.

Aku yang sepi dan kucing yang sunyi. Kami berkongsi rasa dan berbagi hati.

*   *   *
Hari Isnin. Penghuni sudah mula memenuhi kolej. Geena teman sebilikku juga baru sahaja pulang.

“Kau berbuka dan bersahur dengan siapa sepanjang aku tiada?” tanyanya menghempas tubuh di atas tilam.

“Dengan seekor anak kucing.”

“Anak kucing?? Kau sudah gila apa??”

“Tidak, aku bukan gila. Aku hanya terjumpa anak kucing yang kelaparan dan kehausan itu di tepian jalan. Lalu aku teringat hadis yang berkata seorang pelacur member minum pada seekor anjing dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada salahnya bukan, aku berkongsi bersama kucing itu. Manatahu perkara sekecil itu nampak besar di mata Tuhan.”

“Apa-apa sahaja.” Geena terus menutup mata.

Apa aku betul-betul gila?
 *   *   *

“Ada orang ingin melamarmu.”

“Siapa?” Ada jeda di situ. “Kak Jiji ini kalau mahu membuatku ketawa sekalipun, janganlah bergurau memakai gurauan yang satu ini.”

“Tidak. Aku tidak bergurau dan sesungguhnya aku serius. Nama pemuda itu Ramadhan.”

Hahaha. “Kan benar kataku. Engkau sekadar bergurau denganku, ukhti. Mana ada bulan Ramadan ini bias melamarku.”

“Sumpah. Aku tidak bergurau. Nama dia Ramadhan. Bukan Ramadan bulan mulia ini. Tapi seorang pemuda yang bernama Ramadhan. InsyaAllah berhati mulia seperti bulan Ramadan. Dia menyuruhku menyampaikannya padamu.”

Soalan Kak Jiji itu kubiarkan mati. Masakn bias aku membuat keputusan sedangkan aku langsung tidak tahu siapakah si Ramadhan itu. Malah, kewujudannya selama ini juga aku tidak tahu. Hinggalah ke penamat bulan Ramadan aku menamatkan tanda Tanya Kak Jiji dan tanda Tanya pemuda bernama Ramadhan itu.

*   *   *

Itu kisah Ramadan tahun lalu. Sebuah Ramadan yang membawakan aku hadiah seorang Ramadhan. 

“Bagaimana kamu boleh jatuh suka kepadaku tanpa mengenalku?”

“Ramadhan tidak sengaja terintip perbuatanmu..”

Senyap. “Bukankah bulan Ramadan itu tak pernah lepas mengintip setiap perlakuan hamba Tuhannya?”

“Bukan Ramadan yang itu. Tapi, Ramadhan yang ini.” Dia menunjukkan dirinya sendiri.

Aku terketawa kecil. “Apa yang kamu terlihat dari sisiku?”

Dia senyum. “Aku terlihat kamu berbicara dengan kucing… Emm.. Sudahlah. Mahu masuk tidur dahulu. Teruskanlah dahulu penulisanmu.”

Aku mengangguk. Seusai dia berlalu, aku mengambil sticky note di tepi meja. Lalu ku tulis, “Tuhan, jangan biar Ramadan pergi.” Ya, jujur aku sedih kerana Ramadan yang berwarna kali ini hanya tinggal 2 hari sahaja lagi. Dan aku lekatkan ia di dinding dihadapan mejaku berkarya. SUdahlah. Rasanya mataku turut kelat. Ada baiknya aku menyusul dia tidur.

Esoknya apabila ku bangun dan melawat meja karyaku, ada tulisan tambahan di bawah tulisan pada sticky note yang aku lekatkan semalam.

"Iya sayang, Ramadan tak akan pergi selagi Tuhan berikan aku pinjaman nyawa."

Senyum. Dia suamiku yang bernama Ramadan. Dia ini ada-ada sahaja. Tuhan, aku hanya berbuat baik kepada seekor anak kucing. Tapi kau membalasnya dengan kebaikan seorang manusia. Tuhan, kau mencintaiku tanpa had. Terima kasih Tuhan.

ALIZA NUR AINI NORDEN
PERTANDINGAN INSPIRASI RAMADHAN,
NAWARRUR RAMADHAN.







No comments: